Saturday, 31 October 2015

PENDERAAN DAN PENGABAIAN WARGA TUA. DI MANA HAK MEREKA YANG SEPATUTNYA DITUNAIKAN OLEH ANAK-ANAK???




Pepatah Melayu yang berbunyi “bagai kacang lupakan kulit”, "ulat melupakan daun", dan "air susu dibalas dengan air tuba" mungkin sesuai untuk dikiaskan bagi isu golongan warga emas yang kian terabai, kurang bernasib baik dan kebajikan golongan ini juga diabaikan oleh semua pihak.



Penderaan dan pengabaian terhadap warga tua kini menjadi antara isu yang perlu diberikan tumpuan dan ditangani dengan cara berkesan. Ini berikutan, kes penderaan dan pengabaian terhadap golongan itu dilihat isu serta cabaran baru yang membimbangkan sejak kebelakangan ini. Lebih membimbangkan, kes pengabaian dan penderaan terhadap warga tua di negara ini dijangka meningkat, berikutan tekanan kehidupan dihadapi masa kini dan nilai murni yang semakin menipis dalam masyarakat.


Dulu, kes penderaan dan pengabaian warga tua boleh dilihat sebagai kes terselindung dan tidak ramai mahu atau malu bercakap mengenainya. Tetapi kini, seiring perubahan berlaku, akta khusus dan undang-undang berkaitan warga tua perlu digubal bagi melindungi mereka. Dengan adanya undang-undang, banyak boleh dilakukan.. - Prof Madya Dr Tengku Aizan Hamid Pengarah Institut Gerontologi, Universiti Putra Malaysia (UPM)



Hakikatnya, walaupun Malaysia antara negara yang masih berpegang kepada konsep ketaatan kepada orang tua dan anak dituntut oleh agama atau adat menjaga ibu bapa, kejadian penderaan serta pengabaian terhadap warga tua ada berlaku dan tidak mustahil, semakin meningkat. Umumnya, kejadian penderaan dan pengabaian warga tua juga adalah masalah yang wujud di hampir semua negara di dunia, sebagaimana kes penderaan kanak-kanak dan juga wanita.





SIAPAKAH WARGA EMAS DI MATA MASYARAKAT???

Siapakah Warga Emas di Mata Masyarakat? Soalan ini patut ditujukan kepada semua. Ini adalah kerana semua peringkat lapisan masyarakat mempunyai peranan tertentu di dalam menjaga kebajikan mereka agar tidak diabaikan. Siapa mereka di mata kita adalah bergantung kepada tanggapan dan pandangan kita terhadap mereka. Adakah mereka merupakan bebanan atau tanggungjawab kepada kita? Tepuk dada, tanyalah selera! Walau bagaimanapun, sebagai seorang yang beragama, bertanggungjawab dan prihatin serta mempunyai sifat kemanusiaan, kita perlulah menjaga kebajikan mereka. Ini adalah kerana tanpa mereka, siapalah kita pada masa sekarang dan tanpa kita, siapalah mereka (merujuk kepada kehidupan mereka sekarang yang mana mereka amat memerlukan kita kerana mereka tidak lagi terdaya menguruskan diri). Di dalam usia yang lanjut dan tidak berkeupayaan, mereka amat memerlukan kita di samping mereka di dalam menguruskan hari-hari yang mendatang. 



PUNCA PENGABAIAN ANAK TERHADAP WARGA TUA :

1) Warga tua dianggap sebagai beban. Ini kerana anak-anak terpaksa menjaga warga tua ini tanpa mendapat apa-apa faedah daripadanya. Disebabkan keadaan ini terpaksa, golongan tua ini dilayan antara mahu atau tidak mahu sahaja.

2) Mementingkan kerjaya. Dengan kelulusan tinggi yang dimiliki oleh sebilangan besar anak-anak zaman ini menjadikan mereka begitu memfokuskan pandangan dan pemikiran mereka kepada kerjaya semata-mata bagi membina kejayaan hidup dengan pangkat, gelaran dan jawatan yang bergerak seiring dengan usaha dan komitmen mereka terhadap kerjaya. Keadaan ini menjadikan anak-anak zaman ini tidak ada lagi peruntukan masa untuk ibu bapa.  Lebih teruk lagi, keadaan ini juga menyebabkan ada orang tua yang tidak menaruh sebarang kepercayaan bahawa anak mereka akan sanggup menjaga sakit pening mereka lantas sanggup tinggal di rumah orang-orang tua kerana lebih mempercayai orang lain untuk menjaga mereka daripada anak kandung mereka sendiri. Namun begitu tidak dinafikan ada di antara kita masih menyayangi warga tua sebagaimana mereka menyayangi diri mereka sendiri. Golongan inilah yang dikatakan masyarakat terpelajar sebenarnya.

3) Perkara yang menyedihkan hati dan perasaan kita apabila anak-anak yang ditatang seperti minyak yang penuh dari kecil sanggup membuang ibu bapa mereka hanya kerana desakan, hasutan dan tekanan yang diberikan oleh pasangan hidup yang tidak sanggup hidup serumah dengan ibu bapa atau ibu bapa mertua yang telah tua dengan alasan ‘tidak tahan dengan karenah’ orang tua. 



4) Ada kalanya anak-anak memberi alasan kewangan dalam menyatakan ketidakmampuan mereka untuk menjaga orang tua sehingga mengambil keputusan menghantar orang tua mereka ke pusat-pusat kebajikan dan rumah warga tua.

5) Proses urbanisasi dan modenisasi yang begitu pesat berlaku di negara ini menjadikan anak-anak tinggal di taman perumahan yang terdiri daripada rumah teres, apartmen, rumah pangsa dan kondominium yang terdapat pelbagai lapisan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai bangsa. Atas alasan malu dan tidak mahu dipandang serong oleh komuniti dan masyarakat kediaman mereka, ada anak-anak yang tidak sanggup untuk membawa ibu bapa mereka tinggal bersama-sama kerana ibu bapa yang telah tua atau ‘nyanyuk’ ini akan menimbulkan masalah dengan komuniti dan masyarakat setempat. 

6) Bukan itu sahaja, anak-anak juga sering memandang ringan terhadap orang tua mereka. Mereka menganggap ibu bapa telah tua tidak berguna dan berjasa lagi. Mereka tidak terfikir tentang jasa-jasa yang telah diberikan oleh ibu bapa mereka sehingga anak-anak dapat menikmati kesenangan seperti yang dinikmati hari ini.

7) Dari aspek lain pula, punca pengabaian warga tua juga disebabkan oleh tindakan ibu bapa itu sendiri. Pengabaian terhadap ibu bapa disebabkan pengalaman anak-anak itu sendiri di alam kanak-kanak, mungkin semasa kecil kedua ibu bapa mereka bersikap bengis, suka mendera. Maka, anak-anak akan bertindak balas dan menyimpan perasaan untuk membalas dendam terhadap kedua ibu bapa mereka yang dianggap kejam itu. Oleh itu, salah satu cara untuk memuaskan hati mereka ialah dengan mengabaikan kebajikan dan kesihatan kedua ibu bapanya.

8) Ketiadaan akta khusus dan kerangka undang-undang yang terbatas bagi melindungi warga tua di negara ini menyebabkan kes penderaan serta pengabaian warga tua sukar dikenal pasti. Malah, ia menjadi antara faktor nasib golongan itu tidak terbela dan menyaksikan kes penderaan dan pengabaian golongan itu berlaku. 


KESAN-KESAN PENGABAIAN ANAK TERHADAP WARGA TUA :

1) Pengabaian dan penderaan kepada warga tua tidak boleh dipandang remeh kerana ia boleh memberikan kesan serta merta, termasuk berlaku pecah belah dalam hubungan kekeluargaan.

2) Bagi kesan pada jangka panjang pula ia boleh menggugat kesejahteraan dan kestabilan dalam masyarakat. Secara tidak langsung, mewujudkan kepincangan dalam masyarakat dan juga menjejaskan pembangunan serta kemajuan ekonomi mahupun sosial negara. 


LANGKAH-LANGKAH MENGATASI :

Masalah pengabaian warga tua disebabkan oleh banyak faktor, namun masalah ini masih boleh dibendung dan diatasi. Tamadun manusia walau apapun agamanya, ia akan meletakkan kedudukan yang paling tinggi kepada yang lebih tua terutamanya kedua ibu bapa. Tamadun itu semakin hari semakin di telan arus pembangunan. Akibatnya anak-anak yang sudah berkeluarga bukan sahaja tidak lagi berminat tinggal bersama ibu bapa malah jumlah ini semakin meningkat di kalangan anak-anak yang bekerja. 

1) Langkah untuk mengatasi masalah ini ialah sikap manusia haruslah baik di mana manusia perlu mengikis sifat memandang remeh kepada orang tua yang kurang bernasib baik dan juga anak-anak perlu membuang sifat memandang hina kepada ibu bapa yang dianggap semakin tua semakin tidak berguna dan tidak perlukan lagi. Masyarakat haruslah mengubah sikap dengan mengamalkan sistem keluarga luasan iaitu isi rumah yang merangkumi ibu bapa, anak-anak dan datuk nenek atau anggota keluarga yang lain, secara tidak langsung dapat memupuk rasa tanggungjawab, perasaan kasih sayang, sokongan dan ikatan kekeluargaan yang kuat oleh ahli keluarga terhadap warga tua.

2) Langkah kedua, anak-anak haruslah diberi didikan agama dan pendedahan dari awal lagi tentang menghormati ibu bapa. Anak-anak yang diberi didikan agama dari kecil lagi akan dapat mengelakkan daripada ibu bapa disisih. Anak-anak yang mempunyai asas agama akan ada rasa tanggungjawab dalam menjalankan tugas menjaga ibu bapa yang berumur.

3) Selain didikan agama yang diterapkan kepada anak-anak sejak kecil lagi pendidikan moral juga perlu diterapkan di sekolah rendah dan sekolah menengah. Pendidikan agama yang dihubungkan dengan memperbanyakkan konsep inter-generasi dimana agensi atau pusat penjagaan haruslah menyediakan penjagaan kepada penjaga perlulah diwar-warkan agar mereka lebih sedar tentang sumber yang boleh didapati terutamanya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar. 

4) Selain itu, kerajaan perlu menyediakan satu sistem pendaftaran penjaga supaya segala bentuk bantuan dan program boleh disalurkan dengan mudah. Maknanya, kita akan tahu siapa yang menjaga siapa dalam masyarakat. 

5) Seterusnya kita juga harus mengadakan kempen kesedaran tentang masalah yang berkaitkan warga tua seperti mengadakan hari ibu dan hari bapa. Hari ibu dan hari bapa harus disambut bagi menyanjung dan mengingati jasa dan pengorbanan mereka. Melalui hari ibu dan bapa ini ia sikit sebanyak akan menyedarkan golongan anak-anak yang tidak mempedulikan ibu bapa mereka.


HAK WARGA TUA (IBU BAPA) :


Allah S.W.T telah berfirman dalam surah Al-Ahqaaf ayat 15 yang bermaksud: 

"Dan Kami wajibkan manusia berbuat kebaikan kepada kedua ibu bapanya, ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Rasulullahlah S.A.W. pernah bersabda yang bermaksud: Adakah kalian mahu ku beritahu tentang dosa-dosa yang besar? Para sahabat menjawab: Kami mahu, ya Rasulullah. Rasulullah bersabda: Menyekutukan Allah dan derhaka kepada ibu bapa." 

Akta bagi warga tua di Malaysia :

Bagi kes penderaan warga tua di Malaysia, umumnya undang-undang yang terpakai adalah sama seperti dalam kes keganasan rumah tangga, membabitkan isteri atau suami iaitu Kanun Keseksaan dan Akta Keganasan Rumahtangga 1994 (Akta 521). Ini bermakna, secara asasnya, warga tua di negara ini sememangnya dilindungi oleh undang-undang daripada didera.

Bagaimanapun, Akta 521 tidak terperinci dan tidak memperuntukkan beberapa jenis penderaan lain yang sering kali dikaitkan dengan warga tua seperti penderaan emosi atau psikologi, penderaan, eksploitasi dan sebagainya. Selain itu juga, akta berkenaan tidak secara jelas memperuntukkan mengenai kesalahan mengabaikan warga tua 

Oleh itu, sudah tiba masa di Malaysia juga perlu ada perubahan undang-undang dan penggubalan akta yang bertujuan meningkatkan kebajikan serta melindungi warga tua daripada terabai dan didera.

Apakah langkah negara asing dalam menangani isu ini di negara mereka?

Kebanyakan di negara maju atau barat sudah pun ada undang-undang atau akta khusus yang digubal bagi melindungi dan menjaga hak serta kebajikan warga tua.

1) Di Amerika Syarikat, Akta Warga Tua Amerika diluluskan ke dalam undang-undang pada tahun 1965 dan dipinda pada 2000. 

2) Di Jepun ada Undang-undang Nasional pada 1963 bagi menjaga kebajikan warga tua. 

3) Di Singapura yang masyarakatnya sudah menuju penuaan sejak tahun 2000 juga sudah pun memperkenalkan undang-undang khusus untuk warga tua seperti Akta 1996 Penjagaan Terhadap Ibu Bapa. Tribunal keluarga diperkenalkan memperuntukkan mana-mana orang yang berumur 60 tahun ke atas dan tidak berkemampuan untuk menyara dirinya boleh membuat permohonan kepada Tribunal supaya anaknya yang berkemampuan tetapi tidak menyaranya untuk membuat pembayaran nafkah. Selain itu dari segi perumahan, bagi memudah dan membolehkan anak dapat menjaga orang tua, negara jiran terdekat ini turut memberikan keistimewaan kepada anak untuk memohon dan memiliki rumah berdekatan dengan ibu bapa mereka.


PERSOALAN HAK ASASI MANUSIA :


Wahai anak-anak. Mengertikah kamu perasaan ibu dan ayahmu? Ibu dan ayah mana yang sanggup melihat anaknya ditangankan oleh orang lain? Ibu dan ayah mana yang sanggup berjauhan dengan anaknya? Tetapi kini ada anak yang sanggup berbuat begitu kepada ibu dan bapanya. Tidak terpalitkah langsung rasa bersalah di jiwa masing-masing? Di manakah hak ibu bapa untuk merasai erti kasih sayang di usia lanjut ini dari anaknya yang ditatang bagai minyak yang penuh sejak dari kecil lagi?

Firman Allah Taala di dalam surah Al-Israa' ayat 23-24 yang bermaksud: 

"Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan pemeliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka sebarang perkataan kasar sekalipun perkataan 'ah' dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia yang bersopan santun. Dan hendaklah engkau merendah menghinakan diri kepada keduanya kerana balas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah untuk mereka dengan berkata : Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidik semasa kecil."

Jika kita kenangkan segala pengorbanan ibu bapa membesarkan dan menjadikan kita seperti hari ini, kita sekali-kali tidak akan sanggup berfikir untuk mengenepikan ibu bapa apatah lagi menghantar mereka ke rumah jagaan orang-orang tua pada saat-saat mereka memerlukan kita pada pengakhiran usia mereka. Tidak adakah lagi perasaan belas kasihan dan kasih sayang di jiwa masing-masing? Di manakah hak ibu bapa untuk merasai erti belas kasihan dan penghargaan dari anaknya yang dipelihara, dididik dan dibelai semenjak dari kecil lagi?

Kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat telah mengadakan pelbagai program kepada warga tua ini sebagai tanda penghormatan dan penghargaan kepada jasa-jasa mereka. Hari Warga Tua, Tokoh Warga Tua dan Ibu Mithali diadakan semata-mata untuk menyatakan berapa besarnya pengorbanan mereka dalam melahirkan generasi cendekiawan hari ini. Tetapi yang menghairankan ialah kenapa anak-anak sendiri tidak begitu menghargai mereka sebagaimana yang diakui oleh pihak kerajaan?

Mengapakah anak-anak zaman ini menjadi “derhaka”, mengabaikan dan tidak kurang juga sanggup menghantar ibu bapa mereka ke pusat-pusat jagaan warga emas ini? Tidak sewajarnya meletakkan orang tua dirumah kebajikan kerana ia bermakna menderhakai dan mengabaikan tanggungjawab kita sebagai seorang anak. Di manakah hak ibu bapa untuk merasai belaian dan layanan penuh kasih dari anak- anak di saat-saat akhir sisa hidup mereka?




Sedar dan insaflah wahai anak... Mengapa tergamak melakukan ibu bapa mu sedemikian rupa? Sudahkah kau lupa insan inilah yang membanting tulang 4 kerat demi mencari sesuap nasi untuk mu??? Sudahkah kau lupa, insan inilah yang bersengkang mata menjaga mu sejak dari kecil. Tika sihat dan tika sakitmu??? Mendidikmu, memberimu curahan kasih sayang dan belaian manja. Moga masih ada ruang taubat buatmu.. Santunilah ibu bapamu.. Sesungguhnya Allah Maha Penyayang lagi Maha Penerima Taubat HambaNYA.



"Didedikasikan kepada kedua ibu bapaku & kedua ibu bapa mertuaku." Moga aku tergolong di dalam golongan yang memuliakan warga tua khususnya kedua-dua ibu dan kedua-dua bapaku Ya Allah.


Human Rights, PJJ UKM
Hilwani binti Mohd Hasnu
GB02607

9 comments:

  1. Berbakti Kepada Ibu Bapa Adalah Segala-galanya

    Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya, apabila salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu.”
    (Surah Al-Isra’ ayat 23)

    Sabda rasulullah s.a.w yang maksudnya: Redha Allah bergantung pada redha dua ibu bapa, dan murka Allah bergantung pada murka kedua-dua ibu bapa.
    Riwayat: Riwayat al-Hakim

    jelas menegaskan bahawasanya pengorbanan dan jasa ibu bapa itu tidak terkira nilainya dalam membesarkan anak-anak. Setiap kudrat dan usaha dalam membela dan membesarkan anak-anaknya tidak boleh dipandang remeh bagi setiap mereka yang bergelar anak-anak. Mereka merupakan orang yang bertanggungjawab mencari rezeki, nyara nafkah anak, memberi kasih sayang dan memberikan pendidikan yang terbaik bagi anak-anak. JADI MARILAH KITA SAMA-SAMA MUHASABAH DIRI...JOM DOAKAN MEREKA...terima kasih perkongsian..

    FEZAN GB02587

    ReplyDelete
  2. Tahniah Hilwani atas perlaksanaan blog ini, sangat sedih saya teliti blog ini,marilah kita menyayangi ibu bapa kita, berbakti kepada mereka..perlu ada kesedaran kepada mereka-mereka yang menghantar ibu bapa mereka di hotel, kaki lima, bas stop mahupun di taman permainan..sungguh menyedihkan, tiada PERIKEMANUSIAAN dalam jiwa, TIADA AKHLAK YANG BAIK, dan saya boleh katakan TIDAK BERTAMADUN...membiarkan warga tua sedemikian...dimana sifat belas kasihan?, dimana sifat ihsan? adakah malu dengan jiran tetangga? adakah warga tua itu menyusahkan? itu semua ALASAN...alasan yang TIDAK MUNASABAH, TIDAK RELEVAN, DAN TIDAK PERIKEMANUSIAAN...kehebatan hidup didunia tidak kekal, buang segala ego,kebanggaan,pemasyhuran,anugerah sehingga rasa diri berada di hujung langit....ingatlah, restu ibu bapa adalah keberkatan sepanjang hidup, biarlah gaji yang sedikit, biarlah makanan yang tidak indah dimata, biarlah rumah kecil, biarlah kereta x servis selalu, YANG PENTING, keredhaan ibu bapa itu adalah KEBAHAGIAAN yang SANGAT INDAH DIKECAPI oleh seorang anak...:'(

    ikhlas dari saya Mohd Hafiz Bin Othman GB 02571

    ReplyDelete
  3. Apabila saya membaca isu hak asasi manusia terhadap warga emas ini mengingatkan saya kepada sebuah cerita lama di Jepun.

    Di Jepun, seorang pemuda telah mendukung ibunya yang sudah tua malah tidah berdaya dan terus berlari menuju ke hutan belantara. Dalam perjalanan membawa ibu tersebut untuk ditinggalkan dan dibiarkan mati di dalam hutan, ibu sempat mematahkan setiap ranting dahan pohon-pohon kecil dengan harapan supaya anak yang selama ini dibesarkan dan diberi kasih sayang secukupnya tidak sesat ketika pulang nanti. Maka setibanya mereka sampai di hutang, pemuda tersebut menyatakan kepada ibunya bahawa beliau terpaksa berbuat demikian kerana tidak mampu untuk menyara dan menguruskan ibunya di atas masalah kewangan yang dihadapi. Namun si ibu terus menyatakan, sekiranya kamu hendak pulang nanti, ikutilah jalan yang ibu telah patahkan ranting di setiap laluan yang kita lalui tadi agar kamu tidak sesat. Pemuda tadi terus menangis teresak-esak dan mendukung ibunya semula untuk dibawa pulang.

    Mujur di Jepun kini telah menguatkuasakan Undang-undang Nasional pada 1963 bagi menjaga kebajikan warga tua.

    Kisah yang sangat sedih untuk kita sama-sama teladani. Kita perlu menjaga hak asasi mereka kerana merekalah ibubapa kita. Tanpa mereka, tiada kita di dunia ini. Suatu hari nanti kita juga akan menjadi tua seperti mereka. Inginkah kita dilayan kejam seperti itu?? Tepuk dada tanya iman. Sesungguhnya islam itu indah.

    ReplyDelete
  4. Tanggungjawab terhadap ibu bapa merupakan satu kewajipan yang utama dan termasuk dalam perintah berlaku ihsan pada kedua ibu bapa yang dituntut dalam agama. Tiada ibu bapa, maka tiadalah kita didunia ini.

    Ihsan terhadap ibu bapa meliputi ketaaan kepada perintah ibu bapa, menyatuni, melayani dengan baik serta menggembirakan hati mereka. Bahkan , dengan menjaga dan memberi nafkah adalah merupakan ihsan terhadap ibu bapa.

    Walau bagaimanapun, masih ada segelintir tidak lagi memahami akan erti ihsan itu dengan cara menafikan Hak mereka sebagai ibu bapa. Jangan kerana terlalu mengejar harta dunia, sehinggakan harta akhirat ditinggalkan.Ingatlah, kita juga akan menjadi seperti mereka, menjadi ibu bapa dan ada anak-anak yang akan membesar. Jadikan diri kita sebagai contoh tauladan yang baik terhadap anak-anak.

    Hargai dan kenangi jasa Ibu dan Bapa. Wallahu a'lam

    Siti Mastura binti Baharom
    GB02618

    ReplyDelete
  5. Ibubapa mempunyai kedudukan yang tinggi lagi mulia di sisi Allah swt.Merekalah yang menjadi sebab kelahiranya anak-anaknya. Mereka lah yang memelihara, mengasuh serta mendidi anak-anak itu dengan sempurna, termasuklah makan minum, pakaian, lindungan dari segi keselamatan serta kasih sayang. Segala pengorbanan kedua ibu bapa terutama ibunya tidak ternilai besarnya jika hendak di balas. Jasa ibubapa adalah amat banyak.
    Allah hu akbar...
    Antara adab/tanggungjawab seorang anak terhadap ibubapanya adalah seperti berikut:
    1. Sentiasa taat dan patuh terhadap suruhan /ajaran ibubapa. Sesuai dengan perintah Allah swt supaya pertama-tamanya beribadat kepadaNya dan selepas itu taat kepada kedua ibubapa.
    2. Hendaklah bercakap dengan lemah lembut dan suara yang rendah ketika bertutur dengan ibubapa. Jangan sekali-kali membantah dan mengherdik mereka dengan apa jua perkataan kerana perbuatan itu ditegah Allah SWT .
    3. Sentiasa hormat dan kasih sayang kepada kedua ibubapa.
    4. Jangan sekali-kali menderhaka kepada mereka, kerana derhaka kepada kedua ibubapa adalah suatu dosa besar. Anak yang tidak mendapat keredhaan ibubapnya akan tidak mendapat keredhaan Allah dan ibadatnya tidak diterima Allah swt.
    5. Sentiasalah mendoakan dan meminta keampunan untuk mereka, sama ada mereka masih hidup atau setelah mereka meninggal dunia dengan berdoa'
    " Ya Allah ampunilah dosaku dan dosa kedua ibubapaku, rahmatilah kedua-duanya sebagaimana mereka memeliharaku pada waktu kecil"
    6. Hendaklah memanggil ibubapa dengan panggilan yang disenangi mereka.
    7. Gembirakanlah hati ibubapa dengan menolong kerja rumah di samping melayani dengan penuh kasih sayang (jika tinggal bersama) atau dengan memberikan apa juga bantuan mengikut keperluan yang dihadapi semasa menghadapi saki baki hidupnya.
    8. Ucapkan salam dan pohon kemaafan kepada ibu bapa ketika bertemu dan berpisah dengan mereka, kerana mungkin salah seorang darinya (anak atau ibu dan bapa) akan meninggalkan dunia yang fana ini tanpa dijangka.
    9. Muliakan sahabat-sahabat ibubapa, hubungkan tali silaturrahim dengan keluarga dan sahabt-sahabat mereka.
    10. Apabila mereka sudah lanjut umur (tua) dan uzur, hendaklah dipenuhi segala keperluan mereka. Selalu menziarahi mereka kerana dengan ini boleh menghibur dan mentetenteramkannya, sebagai melahirkan kesyukuran kepada Allah terhadap jasabakti yang telah dapat dinikmati.
    11. Apabila ibubapa meninggal dunia, anak hendaklah membanyakkan berdoa untuk keselamatan dan mendapat rahmat dari Allah, banyakkan bersedekah dan membacakan ayat-suci Al Quran untuk dihadiahkan pahalanya kepada mereka. Semua kebajikan yang dilakukan akan diterima berterusan pahalanya untuk mereka di sisi Allah swt. Inilah satu kaedah yang berterusaa yang menghubungkan antara anak dan ibubapa walaupun jasad mereka tidak ada lagi.
    Semoga panduan ringkas adab atau tanggungjawab anak terhadap ibupapa ini dapat dihayati serta dikongsi bersama oleh kita semua dan anak-anak zuriat kita.
    Renung-renungkan............. terima kasih
    GB 02597 MOHD HAZWAN IDRIS

    ReplyDelete
  6. Mak....rindunya saya pada kamu,rindu nak suapkan makan pada mak,rindu nak mandikan mak,rindu nak potongkan kuku mak..Ya allah tak puas lagi nak membuatkan mak gembira..Hargailah kedua ibu bapa selagi mereka masih ada.Sayang sekali zaman sekarang masih ada lagi manusia yang telah diberi pelajaran tinggi,didikan agama oleh ibu bapa akhirnya digelar tanggang moden, yang tak tahu erti tanggungjawab dan hak asasi terhadap ibu bapa.Terima kasih atas tajuk blog yang menarik.

    ReplyDelete
  7. Nur Azimah Binti Md Ali GB02614

    ReplyDelete