Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (Universal Declaration of Human Rights, UDHR) ialah satu pengisytiharan makluman yang diamalkan oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Perisytiharan ini terdiri daripada 30 perkara yang menggariskan pandangan Perhimpunan Agung terhadap hak asasi manusia yang dijamin ke semua rakyat. Pada tahun 1966, Perhimpunan Agung mengamalkan dua Perjanjian terperinci yang melengkapkan Rang Undang-undang Hak Asasi Manusia Antarabangsa; pada tahun 1976, setelah perjanjian-perjanjian tersebut ditandatangani sebilangan negara individu yang mencukupi, maka Rang Undang-undang ini memegang kuasa perundangan antarabangsa
Sejarah :
Sebelum Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat diisytiharkan, beberapa negara telah mengisytiharkan pengisytiharan yang seumpamanya, termasuk Undang-undang Hak Asasi England, Undang-undang Hak Asasi di Amerika Syarikat, dan Perisytiharan Hak Asasi Manusia dan Warganegara di Perancis.
Penciptaan :
Oleh sebab kekejaman yang dilakukan Jerman Nazi semakin jelas selepas Perang Dunia Kedua, maka masyarakat sejagat bersependapat bahawa Piagam Bangsa-Bangsa Bersatu tidak cukup mendefinasikan hak-hak asasi yang dimaksudkannya, maka timbulnya keperluan untuk satu perisytiharan sejagat yang menerangkan secara terperinci hak-hak individu. John Peters Humphrey dari Kanada diundang oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mengerjakan projek ini lalu menjadi penggubal utama Perisytiharan. Humphrey dibantu oleh Eleanor Roosevelt dari Amerika Syarikat, Jacques Maritain dan René Cassin dari Perancis, Charles Malik dari Lubnan, P. C. Chang dari Republik China, dan lain-lain. Perisytiharan ini diratifikasi ketika Perhimpunan Agung pada 10 Disember 1948 melalui undian 48 setuju, 0 tidak setuju, serta 8 pengecualian (semua negara Blok Soviet, Afrika Selatan dan Arab Saudi). Sungguhpun peranan utama yang dimainkan oleh warga Kanada tersebut, namun Kerajaan Kanada mula-mulanya mengecualikan diri daripada mengundi mengenai draf Perisytiharan, tetapi kemudian mengundi untuk menyokong draf muktamadnya di Perhimpunan Agung.
Struktur dan implikasi perundangan :
Dokumen ini dibentangkan mengikut tradisi undang-undang awam, termasuk satu mukadimah diikuti 30 artikel. Dokumen ini dijadikan sebagai satu kenyataan objektif-objektif yang perlu diikuti kerajaan-kerajaan sedunia. Sebilangan peguam antarabangsa percaya bahawa Deklarasi ini membentuk sebahagian undang-undang antarabangsa adat serta menjadi alatan yang berkuasa dalam menggunakan tekanan diplomatik dan moral terhadap mana-mana kerajaan yang mencabuli mana-mana artikelnya. Persidangan Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Asasi Manusia 1968 memberikan nasihat agar perisytiharan ini "membentuk satu kewajipan untuk ahli-ahli masyarakat antarabangsa" kepada semua orang. Perisytiharan ini telah berfungsi sebagai asas untuk dua waad hak asasi manusia PBB tanpa ikatan yang asal, iaitu Waad Antarabangsa mengenai Hak-hak Awam dan Politik, dan Waad Antarabangsa mengenai Hak-hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan. Sehingga masa ini, perisytiharan ini masih dipuji oleh para akademik, penyokong, dan mahkamah-mahkamah perlembagaan.
No comments:
Post a Comment